Wednesday, 3 October 2012

KEMERDEKAAN KE-55, JANJI DITEPATI


Tahun 2012 merupakan tahun ke-55 Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan bermaksud kebebasan. Kebebasan yang digambarkan dalam konteks kemerdekaan adalah bebas daripada kekangan penjajah atau kuasa asing seperti Jepun, British dan Portugis. Selain itu, kemerdekaan juga melambangkan kedaulatan, kekuatan dan kejayaan sesebuah negara. Pelbagai rintangan dilalui oeh pejuang-pejuang negara untuk mendapat kemerdekaan ini. Sebagai rakyat Malaysia yang bebas dari sebarang peperangan , kita seharusnya memanjat kesyukuran kerana diberi peluang untuk hidup di dalam suasana aman dan damai.
            Pada tahun 1963, Malaysia telah ditubuhkan hasil idea daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Fued Stephans, Datu Mustapha, Datu Harun dan lain. Malaysia mempunyai pejuang yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi melaksanakan tanggungjawab kepada Negara tercinta. Antaranya adalah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T Sambanthan dan ramai lagi.
            Tema untuk kemerdekaan kali ke-55 adalah ‘Janji Ditepati’. ‘Janji Ditepati’ melambangkan keunikan, liku-liku serta cabaran yang dihadapi oleh para pejuang dan pemimpin Negara dalam memperjuang dan mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan Negara. Tema ini dipilih kerana selaras dengan kehendak kerajaan yang menginginkan rakyat Malaysia lebih kreatif dan proaktif dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada demi  keluarga, agama, bangsa dan negara.
            Terdapat beberapa sumber seperti surat khabar, blog dan sebagainya yang menyatakan pandangan mereka terhadap tema Hari Kemerdekaan yang ke-55 ini. Tema ini mendapat sokongan daripada mereka, tetapi tidak kurang juga yang cuba membantah tema ini kerana merasakan tema ini tidak sesuai untuk masyarakat dan berunsur politik. Berdasarkan Sinar Harian, menurut Dr Afif Bahardin, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, retorik politik sebegini rupa adalah mempergunakan sambutan nasional negara. Sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh rakyat digunakan sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan ‘pujuk rayu’. Bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi. Selain itu, terdapat satu blog lain iaitu MyKMU.net yang mengatakan janji ditepati yang dilancarkan oleh kerajaan sangat bertepatan dengan masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Tema ini merupakan suatu amalan yang menjurus kepada nilai-nilai murni yang mampu mendidik anggota masyarakat untuk sentiasa berusaha menepati janji yang di lafazkan.
            Oleh itu, sebagai generasi muda yang mempunyai daya pemikiran yang lebih maju seharusnya mampu memilih sesuatu keadaan sama ada baik atau buruk. Sesuatu yang baik harus dijadikan panduan untuk memastikan Malaysia mampu melahirkan masyarakat yang inovatif dan seterusnya memajukan negara Malaysia. Tema ‘Janji Ditepati’ harus diguna pakai untuk memastikan jati diri yang terdapat dalam diri kalangan masyarakat Malaysia dapat dikukuhkan. Perumpamaan ‘janji Melayu’  yang biasa digunakan apabila tidak menepati janji harus dilupuskan dengan wujudnya tema kemerdekaan yang baru ini.
(431 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment